2010/03/18

Mesyuarat : Hari Keluarga PASTI AD-DEEN

Tarikh : 22 MAC 2010
Tempat : Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) AD-DEEN Balok Makmur

Ahli jawatankuasa baru PASTI AD-DEEN telah mengadakan mesyuarat kali pertama bagi persiapan mengadakan Hari Keluarga PASTI pada 4 April 2010.
Kehadiran ahli jawatankuasa PASTI dalam mesyuarat ini amatlah membanggakan. Sokongan dan kerja kuat semua AJK yang terlibat dalam program Hari Keluarga PASTI akan dapat memastikan ianya akan berjaya mencapai matlamatnya.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Dua kepala lebih baik daripada satu. Dengan mesyuarat, suatu idea itu dapat diperhalusi, dikaji burukbaiknya, kesesuaiannya dipertimbangkan, diletakkan menurut tempatnya, dimanfaatkan sepenuhnya.

Terdapat beribu persoalan yang timbul di dunia ini dapat diatasi dengan mesyuarat yang selama lima minit, sekiranya dijalankan dengan berkesan menurut tertibnya.

Firman Tuhan yang mafhumnya: Dan suruhlah mereka mengadakan mesyuarat di kalangan mereka, dan sekiranya sudah mereka putuskan sesuatu maka bertawakkallah kepada Allah.

Perintah mengadakan mesyuarat ada dalam Al-Quran. Cara pelaksanaannya dibiarkan kita menentukan menurut kesesuaian kita. Dalam kita bermesyuarat, mungkin akan timbul perselisihan pendapat. Maka janganlah dirunsing kerana selalunya ia timbul dari jiwa-jiwa yang merdeka, yang masing-masing mahu mencari yang terbaik buat ahli mesyuarat.

Sekiranya suatu perkara itu sudah diputuskan, hendaklah kita menghormatinya, walaupun ianya berlawanan dengan hati kita, kerana kepentingan umum itu diutamakan daripada kepuasan peribadi.

PERUTUSAN KETUA PENGARAH PASTI MALAYSIA

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Seterusnya, tahniah saya ucapkan kepada warga kerja Jabatan Pendidikan Pasti di semua peringkat, guru serta ibu bapa atas kejayaan membuka kelas pengajian di cawangan Pasti di seluruh negara pada sesi persekolahan 2010 ini.

Belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun hijrah 1431. Semoga tahun baru ini memberi kekuatan kepada kita meningkatkan amal solih untuk kesejahteraan hidup di dunia dan menjadi bekalan terbaik demi kehidupan di akhirat.

Pasti adalah tempat anak-anak diasuh dan dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang bertujuan membangunkan rohani, emosi, intelek dan jasmani mereka mengikut acuan Islam. Sebagai ibu bapa, menghantar anak belajar di Pasti adalah memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan asas Islam kepada mereka. Anak kita ibarat kain putih. Pendidikan akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa hadapan, sama ada mereka akan menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Sudah tentu, pendidikan Islam akan menjadi penunjuk jalan dan pembimbing terbaik untuk menyelamatkan mereka mengharungi kehidupan agar tidak terjerumus kepada kesesatan atau kemurkaan Allah.

Selain daripada aktiviti dalam bilik darjah, Pasti Malaysia juga merancang untuk mengadakan Hari Anugerah Murid Pasti Cemerlang pada 30 Januari 2010 di UIA, Selangor, Ijtima’ dan Sambutan Hari Guru di Kuala Terengganu, Sukan Pasti pada bulan Jun, di USM, Pulau Pinang dan Ihtifal Pasti peringkat Kebangsaan pada bulan Oktober, di Ipoh, Perak. Kelas Asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah Harian (Kaffah) juga akan bermula pada bulan Februari nanti. Saya berharap agar ibu bapa sekalian akan memberi sumbangan dan sokongan untuk menjayakan program pembangunan iman serta insan yang dilaksanakan di Pasti di seluruh negara.

Semoga anak-anak kita akan mendapat pendidikan terbaik di Pasti manakala kita akan menjadi ibu bapa dan komuniti yang sentiasa mendokong usaha pembangunan pendidikan terbaik kepada mereka. Bangunkan jiwa anak-anak kita dengan semangat persaudaraan dan perpaduan sejati. Corakkan kain putih itu dengan celupan Ilahi.

Terima kasih.

AZRIN BIN AB. MAJID

Ketua Pengarah

Jabatan Pendidikan PASTI Malaysia

PENGURUSAN PASTI AD-DEEN 2010-2011

Penasihat : Hj Abd Sani Bin Ahmad
Pengurus : En. Wan Burhanuddin Bin Wan Abd Aziz
Penolong Pengurus : En. Mohd Fabil Bin Abd Rahman
Setiausaha : En Rosdi Bin Hussin
Bendahari : En. Mohd Rasid Bin Hamzah
Ketua HEGM :
Ketua Unit Kurikulum dan Peperiksaan :
Ketua Unit Pentadbiran dan Pendaftaran :
Ketua Unit Kebajikan :
Ketua Unit Sosial dan Kemasyarakatan :
Ketua Unit pembangunan dan Infrastruktur :
Penolong Ketua :
Ketua Unit Ekonomi :
Ketua Unit ICT & Dokumentasi :
Ketua Unit Perbekalan :
Ketua Unit Keceriaan dan Kebersihan :
Ketua Unit Keselamatan :

Sejarah Penubuhan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)

Cetusan untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bemula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pemdidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam yang pada peringkat awalnya diberi nama TADIKA ISLAM.


Antara negeri-negeri awal yang melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Namun di sana terdapat sesuatu yang menarik daripada segi pengasasan, pengolahan dan pengendalian pusat-pusat berkenaan, suasana di mana berlakunya persefahaman antara jamaah Islam khususnya Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan ini kepada ABIM. Seawal tahun 1980 telah lahirnya pusat-pusat pendidikan prasekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).Di Terengganu pada tahun 1985 TAsKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negari Terengganu. Manakala di Kelantan pusat prasekolah yang dikenali sebagai Putra Islam dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negari Kelantan sejak tahun 1988.


Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat prasekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda Pas negeri masing-masing. Pada tahun 1988 hasil daripada penyelarasan semula semua TASKI yang dikelolakan oleh ahli-ahli PAS. Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui muktamar Tahunan ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat Pusat diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan PASTI.


Pada 29-30 Mei 1988 tekah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua kertas kerja telah dbentangkan iaitu “Struktur Organisasi dan Pendidikan Prasekolah” oleh Ustaz Abd Halim Arshat dan “Penyelarsan Manhaj Pendidikan Prasekolah” oleh Ustaz Harun Taib. Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama pada 18 Mei 1989 bersama saudara Haji Mohd Najib Fahami Haji Yahya sebagai sebagai Timbalan Ketua Pengarah, saudara Ishak Ismail sebagai Setiausaha dan saudara Noh Ahmad sebagai Bendahari serta Pengarah-Pengarah PASTI Negari sebagai Ahli Jawatankuasa PASTI Pusat.


Pada 21 Julai 1991 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah megarahkan semua PASTI menggunakan logo baru yang rasmi dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo PASTI yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.

PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan penambahan kelas-kelas di seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.