2010/03/26

PERUTUSAN KETUA PENGARAH PASTI MALAYSIA


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.


Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Seterusnya, tahniah saya ucapkan kepada warga kerja Jabatan Pendidikan Pasti di semua peringkat, guru serta ibu bapa atas kejayaan membuka kelas pengajian di cawangan Pasti di seluruh negara pada sesi persekolahan 2010 ini.


Belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun hijrah 1431. Semoga tahun baru ini memberi kekuatan kepada kita meningkatkan amal solih untuk kesejahteraan hidup di dunia dan menjadi bekalan terbaik demi kehidupan di akhirat.


Pasti adalah tempat anak-anak diasuh dan dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang bertujuan membangunkan rohani, emosi, intelek dan jasmani mereka mengikut acuan Islam. Sebagai ibu bapa, menghantar anak belajar di Pasti adalah memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan asas Islam kepada mereka. Anak kita ibarat kain putih. Pendidikan akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa hadapan, sama ada mereka akan menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Sudah tentu, pendidikan Islam akan menjadi penunjuk jalan dan pembimbing terbaik untuk menyelamatkan mereka mengharungi kehidupan agar tidak terjerumus kepada kesesatan atau kemurkaan Allah.


Selain daripada aktiviti dalam bilik darjah, Pasti Malaysia juga merancang untuk mengadakan Hari Anugerah Murid Pasti Cemerlang pada 30 Januari 2010 di UIA, Selangor, Ijtima’ dan Sambutan Hari Guru di Kuala Terengganu, Sukan Pasti pada bulan Jun, di USM, Pulau Pinang dan Ihtifal Pasti peringkat Kebangsaan pada bulan Oktober, di Ipoh, Perak. Kelas Asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah Harian (Kaffah) juga akan bermula pada bulan Februari nanti. Saya berharap agar ibu bapa sekalian akan memberi sumbangan dan sokongan untuk menjayakan program pembangunan iman serta insan yang dilaksanakan di Pasti di seluruh negara.


Semoga anak-anak kita akan mendapat pendidikan terbaik di Pasti manakala kita akan menjadi ibu bapa dan komuniti yang sentiasa mendokong usaha pembangunan pendidikan terbaik kepada mereka. Bangunkan jiwa anak-anak kita dengan semangat persaudaraan dan perpaduan sejati. Corakkan kain putih itu dengan celupan ilahi. Terima kasih.


Azrin bin Ab. Majid

40 kesilapan mendidik anak-anak

1. Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat
2. Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat
3. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak
4. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak
5. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak
6. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan
7. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan
8. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak
9. Kurang melahirkan kasih sayang
10. Sering mengeluh di hadapan anak-anak
11. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah
12. Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan
13. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak
14. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak
15. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak
16. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca
17. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal
18. Tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak
19. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak
20. Terdapat jurang komunikasi di antara ibubapa dengan anak-anak
21. Tidak menggunakan bahasa yang betul
22. Suka bertengkar di hadapan anak-anak
23. Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak
24. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat
25. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak
26. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak
27. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak
28. Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak
29. Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak
30. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak
31. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak
32. Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak
33. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak
34. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan
35. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak
36. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan
37. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak
38. Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak
39. Tidak tegas mendidik anak-anak
40. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama

Dipetik dari buku '40 kesilapan mendidik anak' oleh Dr. Hassan Ali, AKRAB 1996